SHAH ALAM, 3 APRIL: Seorang penumpang terjatuh di kawasan landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Abdullah Hukum, Kuala Lumpur petang tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.09 petang ketika tren Rapid KL sedang menghampiri platform, sebelum seorang wanita terjatuh ke bawah tren.
Rapid Rail Sdn Bhd berkata kejadian itu menyebabkan perkhidmatan tren antara stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum dihentikan sementara
“Bekalan kuasa di stesen berkenaan turut dinyahaktifkan sebagai langkah keselamatan, selain membolehkan pasukan polis, bomba dan ambulans menjalankan operasi di lokasi.
"Susulan kejadian itu, perkhidmatan tren antara stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum dihentikan sementara waktu.
"Perkhidmatan alternatif termasuk bas perantara percuma turut diaktifkan bagi membantu pergerakan penumpang," maklumnya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wan Mohd Shahrir AziziWan Said, menerusi kenyataan berkata wanita berusia 39 tahun itu tersepit di bawah tren LRT.
“Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi jam 6.19 berkaitan mangsa tersepit, sebelum pasukan dari balai jagaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan sembilan anggota.
"Mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan muka. Mangsa dikeluarkan jam 6.38 petang dan diberi rawatan awal seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur," katanya.
Jelas beliau, perkhidmatan tren kembali beroperasi selepas kerja menyelamat selesai.








