Batik Air Malaysia kurangkan 35 peratus penerbangan, tawar cuti tanpa gaji sukarela

2 Apr 2026, 2:32 PM
Batik Air Malaysia kurangkan 35 peratus penerbangan, tawar cuti tanpa gaji sukarela

SHAH ALAM, 2 APRIL: Batik Air Malaysia akan mengurangkan sebanyak 35 peratus daripada jadual penerbangannya bagi separuh pertama April ini susulan peningkatan mendadak kos bahan api.

Menerusi satu memo dalaman bertarikh 1 April kepada kakitangan Batik Air Malaysia, langkah pengurangan itu diambil sebagai pendekatan berjaga-jaga bagi memelihara sumber kewangan ketika harga bahan api jet melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah, lapor Berita Harian.

Syarikat penerbangan hibrid berpangkalan di Malaysia itu turut menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada pekerja dengan permohonan dibuka sehingga 3 April bagi tempoh cuti bermula 6 April.

Batik Air Malaysia ketika ini mempunyai sekitar 3,500 kakitangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chandran Rama Muthy ketika dihubungi BH mengesahkan maklumat itu.

Beliau menyatakan situasi semasa menunjukkan bekalan bahan api global semakin terhad dan hanya mencukupi untuk beberapa bulan akan datang.

Katanya, pada ketika ini, banyak negara dan peserta industri memberi petunjuk bahawa ketersediaan bekalan bahan api adalah terhad untuk beberapa bulan sahaja.

"Dalam keadaan ini, kita perlu mengambil pendekatan yang sangat proaktif dalam mengurus operasi," katanya.

Chandran menegaskan bahawa keutamaan syarikat adalah untuk meminimumkan kerugian kewangan sambil memastikan kestabilan dan kelestarian operasi dalam jangka masa panjang.

"Jika kita terus beroperasi tanpa sebarang pelarasan, ia boleh mendedahkan syarikat kepada risiko operasi dan kewangan yang lebih besar, selain berpotensi menyumbang kepada ketidakstabilan dalam ekosistem penerbangan secara keseluruhan," katanya.

Mengulas lanjut, Chandran berkata, keputusan yang diambil bukan sesuatu yang mudah, namun ia merupakan sebahagian daripada tindak balas perlu dalam persekitaran yang kini boleh disifatkan sebagai berada dalam 'mod krisis'.

Beliau berkata, keadaan itu selari dengan amaran yang dibangkitkan oleh Menteri Pengangkutan berhubung cabaran industri penerbangan ketika ini.

"Kita beroperasi dalam keadaan yang memerlukan perancangan teliti, pengurusan kapasiti yang berdisiplin serta pemantauan rapi terhadap perkembangan global," katanya.

Dalam masa sama, Chandran berharap penumpang memahami rasional di sebalik pelarasan operasi tersebut dan terus memberi sokongan kepada syarikat penerbangannya.

"Matlamat kami adalah untuk mengimbangi kelestarian operasi dengan keperluan pelanggan, sambil memastikan kami kekal boleh dipercayai dan berdaya tahan sepanjang tempoh ketidaktentuan ini," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.