Selangor rangka langkah stategik tangani tekanan harga bahan api, kos sara hidup

2 Apr 2026, 7:51 AM
Selangor rangka langkah stategik tangani tekanan harga bahan api, kos sara hidup
Selangor rangka langkah stategik tangani tekanan harga bahan api, kos sara hidup

HULU LANGAT, 2 APR: Selangor sedang merangka langkah strategik termasuk inisiatif baharu bagi menangani tekanan harga bahan api dan kos sara hidup rakyat susulan konflik Asia Barat.

Dato’ Menter Besar berkata langkah berkenaan dijangka diumumkan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi selepas mengambil kira pandangan serta unjuran pakar ekonomi dan geopolitik dalam Sidang Meja Bulat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan semalam.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pelbagai pandangan serta unjuran dibentangkan bagi membantu Selangor membuat persediaan rapi menghadapi sebarang kemungkinan perubahan ekonomi global.

“Kita sedang merangka dan merancang untuk berdepan dengan cabaran krisis global yang mungkin akan memberi kesan kepada harga bekalan tenaga dan kos sara hidup, harga barangan dan keperluan setiap masyarakat.

“Saya bukan nak takutkan, tetapi sebagai sebuah kerajaan yang proaktif kita sedang berfikir macam mana nak atasi, tangani serta menyediakan program-program baharu,” katanya berucap merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Simbolik Penyerahan Kunci Projek Residensi Selangorku Oleander di sini, hari ini.

Menurutnya, antara langkah Kerajaan Negeri yang diperkenalkan ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi pasca COVID-19 kini terbukti menjadi solusi utama dalam penyediaan kediaman mampu milik kepada rakyat kini, adalah melalui inisiatif Rumah Idaman MBI dan Rumah Selangorku Harapan.

Jelasnya, situasi semasa mungkin berbeza berbanding pandemik COVID-19, namun kesannya berpotensi hampir sama daripada segi tekanan ekonomi terhadap rakyat dan industri.

Dalam masa sama, Amirudin berkata Selangor yakin mampu mendepani cabaran tersebut berdasarkan pengalaman lalu mengurus krisis termasuk pandemik, ketidaktentuan ekonomi dan bencana.

“Saya sebutkan hari ini sebab pengalaman kita membina perumahan Idaman dan Harapan ini bermula dengan krisis (Covid-19). Bermula dengan sesuatu yang tidak pasti dan akhirnya dan kita kenalpasti dengan satu formula pembinaan perumahan yang menyediakan perumahan yang lebih selesa, bermaruah dan pemaju juga tidak terbeban.

“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri mencatat lebihan hasil melebihi sasaran, termasuk lebih RM3 bilion tahun lalu. Sebahagian daripada hasil ini telah disimpan sebagai persediaan menghadapi situasi mencabar seperti ini,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan kali ini bukan sahaja memberi fokus kepada golongan memerlukan, malah memastikan sektor perniagaan, perusahaan dan pertanian terus beroperasi walaupun berdepan peningkatan kos seperti diesel.

Semalam, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memperkukuh kesiapsiagaan Selangor dalam menghadapi ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat.

Menurutnya langkah tersebut menjadi permulaan kepada rangka tindakan menyeluruh di peringkat negeri bagi menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam menangani kesan krisis global.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.