SHAH ALAM, 4 APRIL: Operasi kutipan sisa negeri ini mungkin dijalankan lebih awal berbanding jadual semasa bagi mengelakkan kesesakan trafik yang menyumbang kepada pembaziran diesel.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata berkata jadual terbaharu itu melibatkan kerja kutipan sekitar kawasan perindustrian, komersial atau institusi.
"Jika sebelum ini kita masuk sekitar 7 pagi, jalan sudah sesak dengan kenderaan parkir di depan dan belakang menyebabkan lori tidak boleh melalui kawasan tersebut dan operasi menjadi lambat.
“Apabila lori berada lebih lama di kawasan operasi, enjin terus berjalan dan penggunaan diesel meningkat. Oleh itu, kita sedang kaji sama ada operasi perlu diawalkan.

“Contohnya, masuk ke kawasan komersial seawal 5 pagi supaya kerja selesai lebih awal sebelum bergerak ke kawasan perumahan yang kurang gangguan,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Ramli berkata pihaknya turut meneliti statistik data kawasan mengumpul sampah rendah seperti di luar bandar supaya lori tidak perlu digerakkan setiap hari bagi mengurangkan penggunaan diesel.
Harga runcit bagi diesel di Semenanjung terus meningkat pada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April susulan krisis tenaga dunia yang berlanjutan.
Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 50 sen berbanding tempoh sebelumnya, RM5.52 seliter.

Dalam masa sama, beliau menyeru penduduk mengeluarkan sampah lebih awal untuk memastikan operasi kutipan lebih lancar, selain mengurangkan janaan sisa di rumah.
Beliau berkata sebanyak RM400 juta dilabur dalam beberapa tahun ini untuk memperkasa logistik demi memastikan pengurusan perkhidmatan lebih cekap, mampan, tahan serta berdaya saing tinggi.
Jelas Ramli, pelaburan itu turut melibatkan penggunaan enjin kenderaan yang lebih optimum, berkuasa tinggi dan mampu mengurangkan pelepasan gas ke udara.
“Dari awal kita mengira jumlah inventori rumah kedai, rumah pangsa, rumah strata dan rumah kampung di Selangor. Kemudian kita merangka kontrak yang optimum untuk dilaksanakan setiap lori.
“Lori juga dilengkapi sistem pemantauan kenderaan, yang boleh mengetahui berapa kilometer bergerak setiap hari, jarak perjalanan, kelajuan serta berapa kali ia berhenti. Semua data ini direkodkan.
“Kita juga rancang supaya laluan digunakan paling efisien supaya tiada pembaziran masa, tidak menunggu lama atau terperangkap dalam kesesakan trafik. Ini membolehkan semua laluan diselesaikan dengan cepat dan sekali gus mengurangkan kos,” katanya.









