Aidilfitri tahun ini membawa makna jauh berbeza buat seorang ibu tunggal di Kajang apabila berpeluang menyambutnya di rumah baharu yang dibina hasil bantuan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor).
Selepas melalui pelbagai ujian hidup, termasuk keganasan rumah tangga dan kesempitan hidup, Syawal kali ini menjadi simbol kebangkitan serta permulaan baharu buat Noorezlina Salim dan lima anaknya.
Rumah yang selama ini hanya diimpikan akhirnya menjadi kenyataan, sekali gus memberi ruang kehidupan yang lebih selesa dan selamat untuk membesarkan anak-anak.
Bagi keluarga itu, sambutan Aidilfitri di kediaman sendiri bukan sekadar perayaan, tetapi detik yang mengubat luka lama dan membuka lembaran baharu penuh harapan.
Di sebalik senyuman yang terukir, tersimpan kisah ketabahan seorang ibu yang tidak pernah berputus asa dalam memastikan masa depan anak-anaknya terus terbela.
Keganasan rumah tangga yang dialaminya sebelum ini meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja dari segi fizikal malah emosi yang menghantui kehidupan mereka sekeluarga.
Namun, segala pengalaman pahit itu tidak mematahkan semangat wanita berusia 43 tahun itu untuk bangkit dan mengubah nasib diri.
Selepas diceraikan pada 2019, Noorezlina terpaksa menumpang di rumah ibunya bersama lima anak dalam keadaan serba kekurangan, termasuk berdepan masalah atap bocor dan banjir setiap kali hujan lebat.
“Keadaan kami sekeluarga ketika itu sangat mencabar apabila anak-anak semakin membesar dan memerlukan ruang yang lebih selesa untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran terutama apabila tiba musim peperiksaan,” katanya.

Rezeki keluarga itu berubah apabila permohonan wanita itu untuk memiliki rumah pada 2025 mendapat perhatian Zakat Selangor.
Berita kelulusan yang diterima melalui sepucuk surat sebagai sesuatu yang tidak pernah disangka, apatah lagi rumah tersebut siap dibina sepenuhnya Ogos lalu sebelum diserahkan kepadanya.
Kediaman tiga bilik bernilai RM126,000 itu dibina di atas tanah pusaka peninggalan arwah bapanya di Batu 13, Kampung Sungai Balak Dalam, berhampiran rumah ibu dan adik-beradiknya.
Rumah itu bukan sahaja menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa, malah menjadi simbol permulaan baharu buat mereka sekeluarga.
Lebih menggembirakan, anak-anaknya kini dapat merasai pengalaman memiliki bilik sendiri buat pertama kali, selain menyambut Aidilfitri pertama di rumah sendiri tahun ini.
“Alhamdulillah, saya bersyukur atas sokongan daripada Penolong Amil Kariah Masjid Sungai Sekamat, Roslan Ghazali yang banyak membantu proses permohonan bantuan Bina Baru Rumah dari Zakat Selangor.
“Saya juga sering berpesan kepada anak-anak agar mereka tidak lupa untuk membayar zakat bagi membantu golongan yang memerlukan apabila suatu hari nanti mereka berjaya,” ujarnya.
Bagi Noorezlina, rumah baharu itu bukan sekadar tempat berteduh, tetapi lambang harapan, kekuatan dan bukti bahawa setiap ujian hidup mampu diatasi dengan kesabaran serta sokongan masyarakat.

Ilmu ubah nasib keluarga
Meski diuji dengan pelbagai dugaan hidup, beliau tidak pernah mengabaikan kepentingan pendidikan anak-anak - Muhamad Imran Danial Mohd Fadlishah, 18; Muhammad Imran Asyraf Mohd Fadlishah, 17; Muhammad Imran Rayqal, 13; Muhammad Imran Harraz, 9 dan Nur Aafiya Humairah, 6.
Noorezlina sentiasa menekankan kepentingan ilmu sebagai jalan keluar daripada kemiskinan, selain memberi sokongan terhadap minat dan bakat anak-anak.
“Biar kita hidup dalam kesusahan sekarang, asalkan anak-anak memiliki ilmu kerana ilmu itulah yang mampu mengubah nasib hidup mereka, membuka jalan kepada masa depan yang lebih cerah dan memberi peluang untuk hidup lebih baik,” tambahnya.
Kesungguhan dan kesabaran itu membuahkan hasil apabila anak-anaknya terus mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, termasuk berada dalam kelompok 10 terbaik di sekolah.








