SHAH ALAM, 1 APR: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Ramal menawarkan kelas khas bimbingan membaca dan menulis serendah RM30 sebulan bagi murid tahun enam yang masih lemah dalam asas pembelajaran.
Penyelarasnya, Mazwan Johar memaklumkan, inisiatif dengan kerjasama Pusat Tuisyen Sri Cemerlang Bangi itu membolehkan ibu bapa menikmati yuran rendah berbanding kadar sebenar RM120.
"Yuran sebenar RM120, ditaja RM90 dan ibu bapa hanya bayar RM30 sahaja sebulan," menurut kenyataan di Facebook.
Tambahnya, program selama empat bulan berkenaan dijadual bermula 18 April dan dibuka kepada 24 murid yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.

Antara syarat yang ditetapkan adalah penyertaan khusus untuk murid tahun enam yang bersekolah di sekolah kerajaan serta masih lemah dalam kemahiran membaca dan menulis.
"Antara syarat lain adalah ibu atau bapa pengundi DUN Sungai Ramal serta pendapatan isi rumah bawah RM5,000," katanya.
Pendaftaran dibuka sehingga 10 April ini dan ibu bapa boleh mengimbas kod QR pada poster atau mengisi borang dalam talian bagi menyertai program berkenaan.
"Jom sama-sama bantu anak kita kuasai asas membaca dan menulis sebelum melangkah ke sekolah menengah," tambah Mazwan.









