BDR jejaskan syarikat, namun tidak seteruk zaman pandemik

1 Apr 2026, 3:00 AM
BDR jejaskan syarikat, namun tidak seteruk zaman pandemik

SHAH ALAM, 1 APR: Syarikat tempatan dijangka menerima kesan daripada pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR), namun impaknya tidak seteruk ketika pandemik Covid-19, kata Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Syed Hussain Syed Husman.

Beliau berkata ketika pandemik, syarikat berdepan pelbagai cabaran seperti produktiviti tidak konsisten antara sektor, isu kesihatan mental dan keseimbangan kerja-kehidupan, masalah komunikasi serta kos tambahan untuk teknologi dan keselamatan siber.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan BDR juga memberi kesan positif seperti memastikan operasi perniagaan terus berjalan, mengurangkan kos operasi dan perjalanan, serta mempercepat penggunaan teknologi digital.

“Jika BDR dilaksanakan susulan konflik di Asia Barat, kesannya mungkin sama, tetapi tidak seteruk sebelum ini kerana syarikat kini lebih bersedia,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mengulas cadangan supaya syarikat melaksanakan BDR susulan kenaikan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat.

Pada 26 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata BDR akan dibenarkan secara terpilih bagi penjawat awam dan sektor swasta turut digalakkan mengikut langkah sama.

Bagi mengurangkan kesan kepada perniagaan, Syed Hussain mencadangkan kerajaan menyediakan insentif seperti pelepasan cukai, geran untuk digitalisasi dan infrastruktur kerja jarak jauh, serta latihan kepada majikan dan pekerja.

Beliau turut mencadangkan garis panduan yang jelas supaya pelaksanaan lebih teratur, selain bantuan khusus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang lebih terdedah kepada kos peralihan.

“BDR sepatutnya dilihat sebagai sebahagian daripada aturan kerja fleksibel, bukan satu kewajipan untuk semua.

“Pendekatan yang seimbang, mengikut sektor dan dilaksanakan secara berperingkat amat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan pekerja,” katanya.

Beliau menambah MEF akan terus menasihati syarikat mengenai pelaksanaan kerja fleksibel selaras dengan Akta Kerja 1955.

Menurutnya, semasa pandemik, MEF telah membantu majikan mengurus BDR termasuk dari segi pematuhan undang-undang dan aspek sumber manusia.

“MEF tidak menggalakkan satu garis panduan yang terlalu rigid, sebaliknya memberi panduan berasaskan prinsip supaya syarikat boleh menyesuaikan dasar mengikut keperluan operasi masing-masing,” katanya.

Ke depan, MEF akan terus menambah baik garis panduan tersebut mengikut perubahan ekonomi, perkembangan teknologi digital dan keperluan tenaga kerja.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.