SHAH ALAM, 1 APR: Syarikat berskala besar dilihat lebih bersedia melaksanakan bekerja dari rumah (BDR) berbanding perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mungkin berdepan pelbagai cabaran jika dasar itu dilaksanakan secara meluas.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata berbeza dengan syarikat besar yang mempunyai sistem digital dan dasar kerja hibrid, PKS perlu berdepan kekangan dari segi kos, kemudahan serta penyesuaian tenaga kerja.
“BDR lebih sesuai dilaksanakan sebagai sebahagian daripada aturan kerja fleksibel dan hibrid, bukannya secara menyeluruh merentasi semua sektor,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau mengulas cadangan supaya syarikat mengamalkan BDR susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan kenaikan harga minyak global.
Pada 26 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan BDR akan dibenarkan secara terpilih bagi penjawat awam, selain menggalakkan sektor swasta mengamalkan pendekatan sama.
Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerajaan Selangor akan membuat keputusan mengenai dasar BDR minggu depan selepas meneliti hasil dua mesyuarat penting.
Beliau dijadual mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk pengendali minyak dan gas, ahli ekonomi serta institusi kewangan, sebelum menghadiri mesyuarat khas bersama Perdana Menteri dan pemimpin negeri lain.
Syed Hussain berkata ramai majikan masih berhati-hati untuk melaksanakan BDR kerana kekangan operasi, memandangkan tidak semua sektor seperti pembuatan, logistik, peruncitan dan perhotelan boleh beroperasi secara jarak jauh.
Katanya, antara kebimbangan utama ialah aspek produktiviti dan pemantauan kerja, selain kos tinggi untuk beralih kepada sistem digital, keselamatan siber dan infrastruktur kerja jarak jauh.
Beliau menambah, pelaksanaan BDR secara berpanjangan juga boleh menjejaskan kerjasama, latihan serta budaya kerja dalam organisasi.
Menurutnya, walaupun pandemik Covid-19 memberi pengalaman kepada syarikat melaksanakan BDR, masih terdapat pelbagai cabaran yang perlu diatasi.
“Pelaksanaan BDR ketika pandemik bersifat sementara dan didorong krisis, tanpa perancangan optimum. Ada syarikat mengalami penurunan produktiviti, inovasi dan penglibatan pekerja.
“Situasi itu juga mendedahkan kelemahan dari segi kesiapsiagaan digital, keupayaan pengurusan dan dasar sedia ada,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pelaksanaan BDR kini perlu lebih terancang, tersusun dan selari dengan strategi jangka panjang perniagaan, bukan sekadar meniru pendekatan ketika pandemik.








