Bekalan makanan cukup, kerajaan jamin tangani kos sara hidup

31 Mac 2026, 8:10 AM
Bekalan makanan cukup, kerajaan jamin tangani kos sara hidup

SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan negara kekal mencukupi meskipun berdepan tekanan kenaikan kos sara hidup, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi memastikan bekalan barangan keperluan terus stabil, berkualiti dan pada harga berpatutan.

“Kita mahu pastikan produk yang ditawarkan mencukupi, berkualiti dan sampai kepada rakyat pada harga berpatutan,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas meninjau operasi Ehsan Mart di Wisma PKPS, di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan juga komited memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa terjamin bagi mengelakkan gangguan yang boleh menjejaskan pengguna.

Dalam lawatan tersebut, Mohamad turut meneliti kesiapsiagaan PKPS dalam menghadapi cabaran kenaikan kos makanan, termasuk kepelbagaian produk yang ditawarkan kepada pengguna.

Beliau dalam masa sama menasihati orang ramai supaya berbelanja secara berhemah dan mengelakkan pembelian panik.

“Beli ikut keperluan. Insya-Allah, kerajaan akan pastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk semua,” katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.