Selangor teliti bantuan keluarga mangsa, gesa tindakan tegas terhadap pemandu mabuk

31 Mac 2026, 6:59 AM
Selangor teliti bantuan keluarga mangsa, gesa tindakan tegas terhadap pemandu mabuk
Selangor teliti bantuan keluarga mangsa, gesa tindakan tegas terhadap pemandu mabuk

SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan Negeri akan meneliti bantuan bersesuaian kepada keluarga penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang, kelmarin.

EXCO Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menziarahi keluarga mangsa selepas urusan mereka selesai, selain memberi tumpuan kepada kebajikan waris terlibat.

“Kita akan pergi ziarah juga nanti selepas urusan keluarga selesai di Perak. Keutamaan kini adalah kebajikan anak-anak mangsa yang masih bersekolah serta nasib balu yang kehilangan suami, sebab kita difahamkan arwah menjadi pencari nafkah utama dengan melakukan dua pekerjaan demi menampung keluarga.

“Kerajaan Negeri akan melihat keperluan keluarga ini secara menyeluruh termasuk bantuan kewangan, peluang pekerjaan serta sokongan kemahiran supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Townhall X Raya Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak di sini hari ini yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berucap sempena majlis Townhall X Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 31 Mac 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Jelas Anfaal, pihaknya sebelum ini sudah menghubungi keluarga mangsa, namun menghormati permintaan mereka yang belum bersedia menerima kunjungan.

Pada masa sama, Anfaal berpendapat mekanisme ganti rugi wajar dipertimbangkan bagi membantu keluarga mangsa berdikari selepas kehilangan ketua keluarga, meskipun ia tidak mampu menggantikan nyawa yang terkorban.

Mengulas kemalangan melibatkan pemandu mabuk, beliau mendesak tindakan lebih tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa, termasuk memperkukuh langkah pencegahan.

Beliau turut mencadangkan agar undang-undang sedia ada diperketatkan termasuk meneliti semula kawalan penjualan minuman alkohol selain memastikan individu di bawah pengaruh alkohol tidak memandu.

“Bagaimana kita melaksanakan pencegahan itu lebih penting, termasuk kawalan pembelian dan memastikan mereka yang mabuk tidak mengambil risiko membahayakan nyawa orang lain,” katanya.

Terdahulu, seorang lelaki dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata lelaki berkenaan direman bermula semalam sehingga Khamis ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.