Selangor gesa tindakan tegas terhadap pemandu mabuk ragut nyawa

30 Mac 2026, 1:39 PM
Selangor gesa tindakan tegas terhadap pemandu mabuk ragut nyawa

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Selangor menggesa siasatan dijalankan secara telus serta hukuman maksimum dikenakan terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah susulan kematian tragis seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang, semalam.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad berkata kejadian yang meragut nyawa Amirul Hafiz Omar, 32, itu mencetuskan keperluan mendesak agar tindakan lebih tegas diambil bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Saifuddin Shafi Muhammad. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

“Mangsa, seorang bapa kepada tiga orang anak maut dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Demi keadilan, hukuman paling maksimum perlu dijatuhkan agar menjadi pengajaran kepada semua.

"Kami mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat Ilahi serta pemergiannya akan dibela melalui proses pengadilan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan sikap mementingkan diri serta mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya lain tidak boleh dimaafkan, justeru pesalah wajar dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Saifuddin yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) berkata Kerajaan Negeri tekad memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara, selain menyokong tindakan penguatkuasaan lebih ketat terhadap pelanggaran undang-undang yang boleh meragut nyawa.

Media sebelum ini melaporkan suspek lelaki berusia 20-an direman empat hari bagi membantu siasatan lanjut, dengan perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat di Mahkamah Majistret Klang hari ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.