Demi anak: Balu mangsa pemandu mabuk nekad tuntut keadilan

30 Mac 2026, 12:04 PM
Demi anak: Balu mangsa pemandu mabuk nekad tuntut keadilan

LARUT, 30 MAC: Balu kepada mangsa yang maut selepas dirempuh seorang pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Klang, Selangor semalam nekad mahu berjuang bagi menuntut keadilan di mahkamah.

Isteri Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, iaitu Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata tindakan undang-undang itu mesti diambil bagi memastikan pembelaan sewajarnya terhadap tiga anak mereka yang masih kecil berusia antara dua hingga sembilan tahun, yang kini kehilangan bapa serta punca pendapatan utama keluarga selepas kejadian tragis itu.

“Saya nak ambil tindakan... kena berjuang untuk keadilan anak semua, saya tetap nak saman. Perlu (hukuman berat), kalau boleh beratkan lagi hukuman, penjara tak cukup.

“Dia (suspek) dah hilangkan nyawa, saya dah hilang tempat bergantung, saya baru mula Shopee (mula bekerja) dua bulan, saya nak tolong dia. Sekarang saya dah tak ada suami, anak-anak kecil lagi, saya fikir anak-anak sahaja sekarang ni,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Repoh, Batu Kurau dekat sini hari ini.

Ibu kepada Muhammad Aqif Amsyar, 9, Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, dan Nur Humaira, 2, itu berkata setakat ini beliau telah mendapat panggilan daripada peguam yang ingin membantu menguruskan kes berkenaan.

Nor Nadia berkata beliau mahu tindakan tegas diambil terhadap suspek dengan mengambil kira kronologi kejadian serta impak terhadap dirinya sekeluarga.

“Ya, memang (mahu tindakan tegas diambil). Tak tengok ke dia tinggalkan anak-anak, sebab anak saya tak bersalah. Dia duduk dalam lorong (jalan raya), dia tak ada tengok telefon bimbit apa pun. Nampakkan video tu? Tak laju pun,” katanya sambil menangis dan menahan sebak.

Beliau yang melakukan kerja sambilan sebagai kurier berkata lebih menyayat hati apabila mengetahui suaminya itu sebenarnya sedang dalam perjalanan untuk membeli buku teks Matematik bagi anak sulung mereka sebelum kejadian berlaku.

Beliau berkata arwah sempat membalas pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp mengenai barangan keperluan anak bongsu mereka beberapa minit sebelum nahas meragut nyawanya.

Sementara itu, ibu mangsa Faridah Ahmad, 56, turut berkongsi kisah duka itu apabila menyifatkan anaknya sebagai seorang yang sangat baik dan sempat menunjukkan beberapa “isyarat” pelik sebelum kemalangan itu berlaku.

Faridah berkata arwah sering bergurau mengenai “kapal nak belayar” serta “masuk televisyen” sewaktu mereka sekeluarga berkumpul menghadiri kenduri di Klang pada Sabtu sebelum kemalangan berlaku.

“Lepas tu dia cakap, ‘Haa jaga-jaga nanti nak masuk TV3, masuk TV3’ dia kata macam itu. ‘Kapal nak belayar, kapal nak belayar’, dia kata, ‘duduk diam-diam’, kami ingat dia buat lawak.

“Dia kan selalu bergurau, selalu bergurau dengan sepupu-sepupu dia, rupa-rupanya dia kata itu atas diri dia. Tengok ni semua stesen TV (televisyen) mari. Tak sangka,” katanya yang reda dengan ketentuan Ilahi namun tetap mengharapkan keadilan buat arwah anaknya.

Faridah berkata meskipun sangat terkesan, beliau bersyukur kerana sempat meluangkan masa bersama arwah sepanjang cuti hari raya di kediaman anaknya itu di Shah Alam sebelum nahas meragut nyawa pembantu gudang berkenaan.

“Terkejut sungguh. Saya tak tahu menantu telefon, saya cakap kenapa menangis-menangis telefon mak. Dia kata, ‘Mirul (mangsa) dah tak ada mak, Mirul dah tak ada’. Saya tak tahu nak cakap, terkejut kami.

“Jumpa hari raya, berjumpa kenduri, jumpa sepupu-sepupu dia salam peluk cium, tak sangka dia nak tinggalkan kami masa yang singkat tetapi mak cik puas hati sepanjang hari raya, mak cik pergi rumah dia, banyak masa habis dengan dia,” kata Faridah.

Faridah berkata jasad anaknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repuh di sini kira-kira 12 tengah malam tadi.

Terdahulu, lelaki yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di Klang, Selangor semalam direman empat hari.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.