SHAH ALAM, 30 MAC: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menuntut hukuman maksimum terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah susulan tragedi nahas maut di Jalan Raya Barat, Klang, semalam.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kehilangan nyawa itu amat menyayat hati dan insiden berkenaan bukan sekadar kemalangan biasa, sebaliknya satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima.
“MOT menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyegerakan siasatan kes nahas maut akibat pemandu tersebut dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan berharap agar mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat terhadap pesalah sekiranya didapati bersalah.
“Pada masa yang sama, MOT juga sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain daripada hukuman penjara yang dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anthony turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan kerajaan komited untuk terus memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Beliau menambah, pindaan undang-undang berkaitan telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020, memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah.
Menurut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000 jika disabitkan kesalahan.
Bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat dikenakan iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000.
Media sebelum ini melaporkan mangsa, Amirul Hafiz Omar, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak akibat dilanggar pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah kira-kira jam 11.40 pagi.
Suspek lelaki berusia 20-an direman empat hari untuk siasatan lanjut, dengan kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Dadah Berbahaya selepas didakwa memandu dalam keadaan mabuk dan mengambil dadah.








