SHAH ALAM, 29 MAC: Langkah proaktif kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter dengan pelarasan sementara kelayakan BUDI95 membuktikan keprihatinan dalam menguruskan cabaran semasa.
Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong berkata ia bukan sahaja melindungi hampir 90 peratus rakyat daripada kesan kenaikan kos, malah memastikan bekalan tenaga kekal stabil dalam situasi global yang tidak menentu.

“Bantuan ini tidak hanya menyokong kelangsungan harian penerima, tetapi juga memastikan sektor penting seperti pertanian dan komoditi terus beroperasi dengan stabil.
“Krisis tenaga global yang tercetus susulan konflik berpanjangan di Asia Barat kini memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi dunia, termasuk Malaysia.
“Lonjakan subsidi bahan api daripada RM3.2 bilion kepada RM4 bilion sebulan jelas menunjukkan tekanan besar yang sedang ditanggung negara demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah keputusan kerajaan mengekalkan had khas bagi sektor e-panggilan laksanaan sementara kawalan pengisian diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan sektor ekonomi utama tanpa mengabaikan usaha mengekang ketirisan subsidi.
“Penguatkuasaan yang dipertingkat pula adalah langkah penting bagi memastikan setiap ringgit subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Kestabilan ekonomi berkait rapat dengan keamanan negara dan dalam suasana global yang tidak menentu, perpaduan rakyat menjadi benteng utama. Sikap bertanggungjawab rakyat yang melaporkan penyelewengan membuktikan semangat kebersamaan masih kukuh.
“Sebagai contoh, ada rakyat yang segera melaporkan aktiviti mencurigakan di stesen minyak seperti pengisian RON95 berulang kali dalam kuantiti besar oleh kenderaan tertentu, yang disyaki untuk tujuan penyelewengan atau penyeludupan,” katanya lagi.
David yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Selangor menyeru seluruh rakyat untuk terus bersatu, berdisiplin dan berhemah dalam mengurus penggunaan sumber.
“Langkah-langkah yang diambil ini bukanlah bersikap kekal, tetapi merupakan ikhtiar bersama untuk memastikan negara kekal stabil, aman dan berdaya tahan sepanjang tempoh krisis," ujarnya.
Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan langkah baru iaitu penyelarasan sementara kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April ini.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata harga RON95 bersubsidi serta diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM1.99 seliter dan RM2.15 seliter.









