SHAH ALAM, 28 MAC: Sambutan Aidilfitri tahun ini diraikan dengan pendekatan lebih sederhana apabila orang ramai mula mengutamakan berjimat cermat susulan konflik di Asia Barat serta peningkatan kos sara hidup.
Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam berkata beliau memilih untuk tidak mengadakan rumah terbuka sebagai tanda keprihatinan terhadap situasi global, khususnya nasib umat Islam di Gaza.
Menurutnya, keadaan dunia yang tidak stabil ketika ini menuntut masyarakat untuk lebih berhemah dalam berbelanja dan mengelakkan pembaziran.
"Apa yang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim katakan adalah tepat. Dalam keadaan dunia bergolak ketika ini, termasuk konflik di Asia Barat serta nasib umat Islam di Gaza, selain kenaikan harga barang, saya rasa tidak sesuai untuk bermewah-mewah. Lebih baik kita bersederhana dan tidak membazir," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau bagaimanapun berpandangan penganjuran rumah terbuka adalah hak individu, namun pendekatan lebih berhemah dilihat sesuai dengan keadaan semasa.
"Kalau nak buat, itu hak masing-masing. Tetapi dengan situasi ekonomi dan keadaan dunia sekarang, elok kita elakkan pembaziran serta memilih cara yang lebih bersederhana," katanya.
Sementara itu, pelakon Eyka Farhana berpendapat rumah terbuka masih relevan sebagai medium mengeratkan silaturahim, namun boleh disesuaikan mengikut kemampuan masing-masing.
Menurutnya, konsep rumah terbuka tidak semestinya melibatkan jemputan besar-besaran, sebaliknya boleh dilaksanakan secara kecil atau tertumpu kepada keluarga terdekat.
"Rumah terbuka itu penting kerana setahun sekali kita dapat berjumpa saudara-mara dan kenalan. Namun, ia boleh dilakukan secara sederhana, contohnya hanya melibatkan keluarga terdekat atau secara ‘intimate’," ujarnya yang kini sedang hamil anak pertama.
Eyka turut mengakui perancangan untuk mengadakan rumah terbuka tahun ini masih belum dimuktamadkan, mengambil kira keadaan dirinya yang sedang hamil.

"Dalam keadaan saya yang sedang mengandung, saya perlu menilai semula perancangan. Memang ada perancangan untuk mengadakan rumah terbuka, tetapi belum pasti dapat dilaksanakan kerana keadaan kesihatan yang tidak menentu," ujar isteri kepada pemain bola sepak Akhyar Rashid ini.
Dalam masa sama, anak kelahiran Ampang ini berkata sambutan Aidilfitri tidak semestinya bergantung kepada penganjuran rumah terbuka, sebaliknya amalan kunjung-mengunjung sudah memadai untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
"Tidak semestinya perlu mengadakan 'open house'. Jika ada yang datang beraya ke rumah, itu juga sudah cukup untuk merapatkan silaturahim," katanya.











