MB: Amal kesederhanaan rai Aidilfitri

20 Mac 2026, 12:00 PM
MB: Amal kesederhanaan rai Aidilfitri
MB: Amal kesederhanaan rai Aidilfitri
MB: Amal kesederhanaan rai Aidilfitri
MB: Amal kesederhanaan rai Aidilfitri

SHAH ALAM, 20 MAC: Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengajak penduduk Selangor supaya mengamal kesederhanaan dalam merai hari kemenangan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Dalam perutusan Aidilfitri, beliau mengingatkan sikap bersederhana membuka sifat tahan ujian sekali gus dapat mempersiap diri dan minda untuk menghadapi sebarang bentuk dugaan.

“Tatkala dunia sedang berhadapan dengan cabaran perang dan ancaman kepada ekonomi, kita harus sentiasa berpegang kepada kesederhanaan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan kemenangan sebenar dicapai dengan mengawal keinginan, nafsu dan jiwa dengan menampil perilaku baik yang menjadi ciri-ciri kemenangan sejati kepada umat Islam.

“Kesederhanaan ini yang akan membawa kemenangan kepada kita semua satu hari ini. Tindakan yang kita lakukan hari ini memberi impak dan manfaat kepada generasi akan datang supaya mereka terus hidup bermaruah,” katanya.

Amirudin turut menegaskan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini perlu terus diperkukuh bagi memastikan masyarakat mampu berdepan sebarang ancaman dari luar.

Beliau menjelaskan kekuatan perpaduan menjadi benteng penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta kestabilan negeri dapat terus dipertahankan.

“Marilah kita semua meneruskan kerja baik yang dibajai pada bulan mulia yang lepas seperti menyantuni golongan fakir dan anak yatim serta yang kurang berkemampuan,” katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.