SHAH ALAM, 28 MAC: Pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) mampu membantu rakyat menjimatkan kos harian, namun berisiko memberi kesan emosi jika tidak diurus dengan baik.
Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata BDR memberi kelegaan kepada ramai pekerja kerana tidak perlu berdepan kesesakan lalu lintas serta kos perjalanan harian.
Jelasnya, masa yang sebelum ini digunakan untuk perjalanan, kini boleh dimanfaatkan untuk diri sendiri atau keluarga, sekali gus memberi kesan positif kepada emosi dan pemikiran.
“Namun tidak semua individu sesuai dengan kaedah itu kerana ada yang berdepan rasa sunyi, terasing serta kesukaran memisahkan antara urusan kerja dan kehidupan peribadi.
“BDR bukan baik atau buruk secara mutlak, sebaliknya bergantung kepada individu dan cara mereka menguruskannya,” katanya kepada Media Selangor.
Mengulas mengenai kos sara hidup yag mungkin meningkat akibat kenaikan harga minyak, Shazli Ezzat berkata ia bukan saja memberi tekanan dari sudut kewangan, malah turut menjejaskan kesejahteraan mental individu.
Jelasnya, tekanan ekonomi yang berterusan boleh menyebabkan individu mengalami simptom seperti cepat marah, mudah letih, gangguan tidur dan hilang fokus.
“Dalam psikologi, keadaan ini dikenali sebagai tekanan kronik, iaitu tekanan berpanjangan yang akhirnya menghakis tenaga mental seseorang.
“Lebih membimbangkan, tekanan ini boleh terbawa ke dalam keluarga sehingga mencetuskan konflik, komunikasi tegang dan hubungan yang semakin renggang,” katanya.
Semalam, kerajaan memaklumkan sedang mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja yang lebih anjal seperti pelaksanaan BDR secara berperingkat bagi penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahi berkata pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.
Selain sektor awam, beliau turut menyarankan sektor swasta supaya melaksanakan kaedah sama seperti yang telah diamalkan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan.








