SHAH ALAM, 28 MAC: Tujuh kawasan di Semenanjung berada pada tahap 2 (gelombang haba) setakat pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memamklumkan kawasan tersebut ialah Perlis; Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Sik dan Baling (Kedah) serta Hulu Perak (Perak).
Menurut MetMalaysia, kemas kini status cuaca panas sehingga jam 6 pagi tadi juga menunjukkan, sebanyak 13 kawasan di Semenanjung berada pada tahap 1 (berjaga-jaga).
Kawasan terlibat ialah Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Kulim-Bandar Baharu (Kedah); Timur Laut dan Utara (Pulau Pinang); Selama, Kinta, Kuala Kangsar dan Perak Tengah (Perak) serta Jerantut (Pahang).
Status tahap 2 (gelombang haba) diisytiharkan apabila suhu maksimum berada dalam lingkungan 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Status tahap 1 pula merujuk kepada suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.









