SHAH ALAM, 26 MAC: Bayi perempuan yang masih bertali pusat berbungkus plastik hitam ditemukan dalam tong sampah di Taman Putra Ampang, Ampang semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata bayi itu dipercayai baru dilahirkan kira-kira empat jam sebelum ditemui berdasarkan keadaannya.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung penemuan bayi berkenaan jam 6.27 petang daripada seorang lelaki tempatan.
“Bayi perempuan terbabit kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan serta pemantauan lanjut di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan polis.








