SUBANG JAYA, 28 OKT: Bayi perempuan masih hidup dan bertali pusat ditemui di luar tepi sebuah rumah di Jalan USJ 9/5K di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan bayi itu jam 10.27 pagi.
“Siasatan awal mendapati bayi perempuan yang cukup sifat itu ditemui dalam sebuah beg berwarna biru, dalam keadaan tidak berpakaian dan urinya masih berdarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Hasil pemeriksaan mendapati bayi itu seberat 2.6 kilogram dan mempunyai panjang 43 sentimeter.
“Bayi kini dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan stabil,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran atau meninggalkan bayi dengan niat untuk membuangnya.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Vanitha T Balakrishnan di talian 017-2229832 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222.




