Harga minyak melonjak: Jerman gesa tamatkan konflik AS, Israel, Iran

26 Mac 2026, 2:55 AM
Harga minyak melonjak: Jerman gesa tamatkan konflik AS, Israel, Iran

BERLIN, 26 MAC: Canselor Jerman Friedrich Merz berkata menamatkan konflik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran adalah satu-satunya jalan penyelesaian sebenar terhadap lonjakan harga minyak.

"Kita tidak boleh mengimbangi setiap kenaikan harga melalui langkah cukai atau peruntukan daripada belanjawan persekutuan," kata Merz kepada ahli parlimen ketika sesi persidangan parlimen semalam, lapor Anadolu Ajansi.

"Cara terbaik untuk mengawal semula harga adalah dengan menamatkan perang di Iran. Kerajaan sedang melakukan segala yang termampu untuk mencapai matlamat ini secepat mungkin,” katanya.

Canselor itu menegaskan bahawa beliau telah berulang kali membangkitkan kebimbangan Berlin mengenai peperangan berkenaan serta risikonya terhadap ekonomi global dalam beberapa panggilan telefon baru-baru ini dengan Presiden AS, Donald Trump.

"Saya sedang menyelaraskan secara rapat dengan rakan sejawat di Kesatuan Eropah serta dengan United Kingdom, Norway, dan ramai lagi.

"Kami sedang cuba melakukan apa sahaja yang termampu untuk memujuk AS dan Israel supaya mencari penyelesaian diplomatik terhadap perang ini," kata Merz.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa penamatan permusuhan memerlukan kesediaan daripada semua pihak termasuk Iran, sesuatu yang menurutnya masih belum kelihatan buat masa ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.