KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Selasa berikutan ketidaktentuan di Selat Hormuz yang meningkatkan harga minyak mentah global, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.0675/0730 berbanding dolar AS daripada 4.0680/0730 semasa ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata situasi di Selat Hormuz akan menjadi tumpuan utama pada masa ini, dengan harga minyak mentah seperti WTI dan Brent masing-masing meningkat 9.42 peratus dan 9.35 peratus kepada US$78.14 setong dan US$83.12 setong.
Sementara itu, katanya hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh dua tahun dan 10 tahun masing-masing naik lapan dan enam mata asas kepada 4.28 peratus dan 4.62 peratus berikutan inflasi dijangka terus meningkat, sekali gus menguatkan lagi jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin menaikkan kadar dasar tahun ini.
“Jangkaan ini telah meningkatkan Indeks Dolar AS (DXY) kepada 101.276 mata.
“Dalam keadaan ini, mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit dijangka terus mengalami turun naik dalam tempoh terdekat. Oleh itu, kadar pertukaran ringgit berbanding dolar AS dijangka dalam lingkungan 4.07 hingga 4.10 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5040/5075 daripada 2.5110/5142 semasa ditutup pada Isnin, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4297/4370 daripada 5.4475/4542 serta naik berbanding euro kepada 4.6296/6359 daripada 4.6501/6558.
Ringgit pula diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1417/1464 daripada 3.1489/1530 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1396/1618 daripada 12.1953/2151.
Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada paras 224.6/225.0 dan kekal mendatar berbanding peso Filipina pada 6.60/6.62 berbanding semasa ditutup semalam.






