SHAH ALAM, 25 MAC: Seramai 31,838 individu mendaftar sebagai sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, mencerminkan sokongan dan minat tinggi orang ramai terhadap temasya sukan terbesar negara itu.
Menurut data di laman rasmi SUKMA Selangor 2026, penyertaan tertinggi direkodkan bagi acara badminton dengan 2,648 sukarelawan, diikuti bola tampar dewan (1,653) dan akuatik (1,099).
“Seramai 31,838 individu telah menunjukkan minat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan.
“Terima kasih atas sambutan luar biasa daripada semua yang telah mendaftar sebagai sukarelawan,” katanya di Instagram.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan jumlah pendaftaran sukarelawan bagi temasya SUKMA 2026 melebihi jangkaan iaitu enam kali ganda lebih tinggi daripada sasaran awal.
Setakat 8 Mac lalu, Selangor telah menerima 30,000 pendaftaran, jauh melepasi sasaran awal sekitar 5,000 sukarelawan, sekali gus mencerminkan sambutan yang sangat menggalakkan khususnya dalam kalangan golongan muda.
Selangor akan menjadi tuan rumah SUKMA edisi ke-22 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan majlis pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), manakala Para SUKMA pula akan diadakan dari 5 hingga 10 September 2026.
Sebanyak 474 acara akan dipertandingkan melibatkan 37 jenis sukan termasuk 10 jenis sukan bagi Para SUKMA iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.









