PUTRAJAYA, 25 MAC: Umat Islam dinasihatkan sentiasa menjaga batas agama dan maruah diri serta menjauhi perbuatan yang bercanggah dengan syarak seperti bertatu, yang tidak wajar dinormalisasikan dalam masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan mengingatkan umat Islam agar tidak meniru perkara yang melanggar hukum syarak.
“Sebagai umat Islam, kita hendaklah memelihara iman dan maruah serta mengelakkan daripada membuka aib di media sosial ketika berhadapan masalah, sebaliknya berusaha mendapatkan bantuan pakar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui KSKCareCentre di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menyediakan khidmat nasihat, kaunseling syarie dan terapi secara percuma.
Orang ramai boleh menghubungi MyCareJAKIM menerusi talian 03-8870 7538 / 7460 / 7454 untuk mendapatkan bantuan.
Sebelum ini, satu video memaparkan seorang pempengaruh dan pencipta kandungan mengaku mencacah tatu pada lengan kirinya tular di media sosial sehingga mengundang perhatian banyak pihak.







