SHAH ALAM, 24 MAC: Seramai 296 pelajar daripada golongan kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa menerima bantuan tunai persekolahan menerusi program ‘Jelajah Kembali Ke Sekolah’, baru-baru ini.
Ahli Dewan Negerinya, Mohd Kamri Kamaruddin berkata, sumbangan berkenaan merupakan bantuan daripada Kerajaan Negeri melalui Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
“Pelaksanaan program ini adalah satu insentif anjuran Yayasan MBI untuk membantu meringankan kos perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.
“Semoga program sebegini dapat diteruskan dan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat Selangor,” katanya menerusi Facebook.
Sebelum ini, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata hampir RM20 juta dibelanjakan sepanjang lebih 10 tahun bagi membantu kira-kira sejuta pelajar menyediakan kelengkapan sekolah.
Usaha itu juga sebagai langkah memastikan pelajar terutama kalangan keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada akses pendidikan.
Pemohon perlu mendaftar di pusat khidmat DUN masing-masing dan menyediakan dokumen sokongan antaranya salinan kad pengenalan ibu bapa, sijil kelahiran atau MyKid.
Selain bantuan itu, Yayasan MBI turut menyalur pelbagai inisiatif pendidikan antaranya Program Tuisyen Rakyat Selangor, sumbangan komputer riba serta rangkaian data Internet.










