Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam rumah

24 Mac 2026, 8:24 AM
Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam rumah

SHAH ALAM, 24 MAC: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, Melaka semalam selepas gagal dihubungi beberapa hari.

Kejadian disedari jiran mangsa, Supian Abdul Majid, 52, selepas dimaklumkan ahli kariah mengenai kehilangan lelaki berusia 46 tahun itu.

Menurutnya, usaha memberi salam dan mengetuk pintu rumah mangsa tidak dibalas selain terhidu bau kurang menyenangkan dari dalam kediaman berkenaan.

Beliau berkata, sebelum itu rakan mangsa turut datang untuk menziarah sempena Aidilfitri, namun tidak menerima sebarang maklum balas walaupun sudah beberapa kali memanggil.

“Mereka kemudian terhidu bau busuk dari dalam rumah selain melihat selipar berada di luar pintu,” katanya.

Supian yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Krubong berkata, pihaknya kemudian menghubungi talian kecemasan 999 sebelum pasukan bomba membuka pintu rumah yang berkunci.

Mangsa ditemui terbaring di lantai bilik utama berhampiran katil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.18 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati tiada kesan pecah masuk atau pergelutan, manakala keadaan rumah berada dalam keadaan baik dan teratur.

“Tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya lapor Harian Metro.

Menurutnya, mangsa yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung dipercayai meninggal dunia lebih tiga hari.

Tambah beliau, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada Rabu lalu ketika berbuka puasa bersama keluarga di Taman Seri Krubong dan ketika itu kelihatan letih serta tiada selera makan.

Difahamkan, mangsa sebelum ini pernah beberapa kali menerima rawatan di hospital termasuk akibat serangan angin ahmar.

Mayat kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.