SHAH ALAM, 23 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan individu yang tular merokok di sebuah premis makanan di Rawang merupakan penjawat awam yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Gombak.
KKM dalam individu tersebut dikompaun di bawah Seksyen 16(2) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kerana merokok di tempat makan.
Selain itu, individu tersebut turut dikenakan tindakan tatatertib dalaman selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.
“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga kerja yang melanggar undang-undang, dan akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara tegas, adil serta konsisten,” menurut kenyataan itu.
KKM menegaskan premis makanan antara 28 kawasan larangan merokok yang diwartakan bagi melindungi kesihatan awam.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang kakitangan KKM merokok di sebuah restoran di Rawang.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merakamkan penghargaan kepada individu yang tampil melaporkan kejadian berkenaan.
Beliau menegaskan tiada mana-mana pihak mengatasi undang-undang, termasuk warga KKM sendiri yang seharusnya menjadi contoh teladan kepada masyarakat.
“Saya telah mengarahkan tindakan tegas diambil serta-merta. Individu terbabit telah dikenakan kompaun di bawah Akta 852 dan akan berdepan tindakan tatatertib,” katanya menerusi hantaran di akaun rasmi X miliknya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya membantu melaporkan kejadian seumpama itu melalui saluran rasmi, termasuk akaun X @KKMPutrajaya, sekiranya berlaku di mana-mana premis larangan merokok.








