SHAH ALAM, 8 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 25,643 aktiviti penguatkuasaan melibatkan pemeriksaan terhadap 496,247 premis di seluruh negara sehingga 30 November lalu.
Tindakan itu dilaksanakan susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
KKM memaklumkan, daripada jumlah penguatkuasaan tersebut, sebanyak 160,839 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan boleh dikompaun.
Jumlah itu merangkumi 67 kompaun atas kesalahan orang belum dewasa (OBD) membeli produk merokok; 137,568 kes merokok di kawasan larangan; 4,886 kes OBD merokok serta 18,318 kes melibatkan kesalahan tuan punya bangunan atau penghuni.
“Sebanyak 2,352 kertas siasatan turut dibuka bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun,” jelas KKM menerusi kenyataan .
Menurut KKM, operasi tersebut memberi tumpuan utama kepada aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan semua jenis produk merokok termasuk rokok elektronik (vape).
Langkah itu diambil bagi melindungi generasi muda daripada bahaya produk merokok dan vape yang semakin berleluasa.
Dalam perkembangan berkaitan, KKM memaklumkan sebanyak 58 kes telah selesai dibicarakan di mahkamah, dengan jumlah denda RM394,700 dikenakan.
KKM turut memaklumkan Mahkamah Majistret Putrajaya semalam mensabitkan kesalahan terhadap seorang pelawak, Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu.
Beliau didapati bersalah mempromosikan produk vape menerusi program Dol’s Podcast dua tahun lalu. Tindakan tersebut melanggar Seksyen 9(1) Akta 852, dan tertuduh dikenakan denda RM10,000.
KKM menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan merupakan pilihan terakhir.
Sehubungan itu, kementerian menggesa semua pihak agar bekerjasama dan mematuhi Akta 852 demi mencegah penyakit serta mencapai tahap kesihatan awam yang optimum.
Akta 852 mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024, manakala pelaksanaan sepenuhnya dijadual bermula 1 Oktober 2025, dengan pelancaran Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) bagi memperkukuh aktiviti penguatkuasaan di bawah akta berkenaan.
Akta 852 memperuntukkan tindakan tegas, termasuk mengikut Seksyen 3 (pendaftaran produk merokok), Seksyen 10 (menjual atau mempamerkan produk tidak mematuhi kehendak akta) dan Seksyen 15 (mengilang, mengimport atau mengedar produk tidak mengikut syarat pembungkusan dan pelabelan).



