Hospital Shah Alam terima lebih RM1 juta naik taraf, tambah 400 katil baharu

23 Mac 2026, 2:38 AM
Hospital Shah Alam terima lebih RM1 juta naik taraf, tambah 400 katil baharu

SHAH ALAM, 23 MAC: Lebih RM1 juta diperuntukkan bagi menaik taraf fasiliti Hospital Shah Alam bagi meningkatkan kualiti dan keselesaan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid berkata langkah itu penting bagi memastikan sistem kesihatan awam kekal mampan, responsif serta bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.

“Hospital Shah Alam merupakan hospital pakar utama di daerah Petaling yang beroperasi sejak 11 Januari 2016, meliputi kawasan seluas 30 ekar dengan 15 kepakaran perubatan.

“Ketika ini, hospital yang asalnya direka untuk 300 katil telah meningkat penggunaannya kepada sekitar 490 katil, sejajar dengan keperluan populasi yang mencecah 2.4 juta penduduk di kawasan berkepadatan tinggi ini.

“Sehubungan itu, terdapat perancangan pembinaan blok baharu bagi menambah sekitar 400 kapasiti katil, termasuk kemudahan parkir bertingkat bagi menampung peningkatan pesakit dan pelawat,” katanya melalui Facebook.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pengurusan Hospital Shah Alam atas komitmen berterusan dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan untuk rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.