SHAH ALAM, 20 MAC: Bekalan Gudang Makanan Selangor (GMS) akan dipertingkat sehingga mampu menampung keperluan selama enam bulan susulan ketidaktentuan global akibat konflik di Asia Barat melibatkan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu pada asalnya dijangka dicapai dalam tempoh dua hingga tiga tahun menerusi pelan pembangunan sedia ada, namun dipercepatkan bagi memastikan kesinambungan bekalan makanan kepada rakyat tidak terjejas.
“Sekarang kita dah siapkan untuk tempoh tiga bulan, ini tidak dicampur dengan kesiapsiagaan persekutuan. Kerajaan juga mempunyai perancangan sendiri.
“Contohnya persekutuan ada simpanan beras dari setiap negeri. Jadi ini jadi tambahan kepada apa kita laksanakan. Sekarang kita percepatkan sebab konflik yang berlaku di Timur Tengah,” katanya.
Beliau ditemui di KDEB ICI Sdn Bhd sempena program Singgah Syawal ke enam agensi termasuk Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Penjara Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, semalam.
Amirudin berkata pentadbirannya komited memastikan negeri ini kekal mampan dan berdaya tahan meskipun konflik berkenaan berlarutan dalam tempoh panjang.
“Ini memberi kesan kepada rantaian ekosistem yang besar. Bukan hanya beri kesan pada harga minyak sebaliknya juga kepada sektor pengangkutan.
“Ini yang menyebabkan (kenaikan) kitaran barangan makanan. Jadi kita akan pantau perkara ini dengan lebih dekat,” katanya.
Minggu lalu, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan pihaknya akan meningkatkan simpanan makanan sehingga tiga bulan berbanding hanya sebulan ketika ini bagi menghadapi kemungkinan gangguan rantaian bekalan global.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata inisiatif tersebut digerakkan menerusi Program Gudang Makanan Selangor yang akan diperkasa tahun ini, sekali gus menampung keperluan rakyat negeri ini.








