Trafik lebuh raya utama semakin sesak selepas waktu berbuka

18 Mac 2026, 2:46 PM
Trafik lebuh raya utama semakin sesak selepas waktu berbuka
Trafik lebuh raya utama semakin sesak selepas waktu berbuka

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Aliran trafik di lebuh raya utama negara semakin padat selepas waktu berbuka puasa malam ini susulan peningkatan kenderaan yang memulakan perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kesesakan ketara dikesan di Plaza Tol Gombak dengan barisan kenderaan dilaporkan mencecah hingga ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) berhampiran Batu Caves.

“Bagi arah utara pula, keadaan trafik dari Rawang Selatan ke Bukit Beruntung dilaporkan hampir tidak bergerak,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurutnya, kesesakan di laluan berkenaan turut disebabkan kemalangan di KM429.7 arah utara (Sungai Buaya ke Bukit Beruntung) yang menghalang lorong kecemasan.

Beberapa lagi lokasi kesesakan dikesan di laluan Gua Tempurung ke Gopeng, Bukit Berapit ke Changkat Jering serta Permatang Pauh ke Bertam bagi arah utara.

Bagi laluan ke selatan, trafik perlahan dari Sedenak ke Simpang Renggam, manakala bagi pengguna ke Pantai Timur aliran trafik perlahan dari Gombak ke Bukit Tinggi serta Lentang ke Bentong.

LLM menjangkakan aliran trafik akan terus meningkat hingga awal pagi esok berikutan pertambahan pergerakan kenderaan sempena Aidilfitri.

“Pengguna dinasihatkan merancang perjalanan mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan pihak konsesi serta memastikan mendapat rehat mencukupi sebelum memulakan pemanduan,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol LLM 1-800-88-7752 atau paparan CCTV trafik di laman web rasmi agensi berkenaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.