Dividen tertinggi TH bukti kejayaan pembaharuan tadbir urus - PM

18 Mac 2026, 12:47 PM
Dividen tertinggi TH bukti kejayaan pembaharuan tadbir urus - PM

SHAH ALAM, 18 MAC: Prestasi agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) tertinggi dalam tempoh lapan tahun membuktikan kejayaan usaha pembaharuan menyeluruh dalam memperkukuh tadbir urus serta memulihkan asas institusi berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian itu hasil penekanan terhadap tatakelola yang lebih baik, selain mengembalikan disiplin dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan TH.

"Pembaharuan tersebut juga adalah ikhtiar untuk kembali mengangkat dan memartabatkan TH selaras dengan semangat asal penubuhannya yang berteraskan pengurusan amanah dan tanggungjawab terhadap kepentingan umat Islam," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambahnya, pengumuman dividen itu turut memberi khabar gembira kepada umat Islam menjelang Aidilfitri serta meningkatkan keyakinan terhadap institusi berkenaan.

“Semoga khabar baik ini menambah rasa syukur dan ketenangan dalam menyambut Aidilfitri, serta memperkukuh keyakinan umat terhadap usaha kita untuk terus memelihara institusi ini demi kepentingan bersama,” katanya.

TH hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, kadar tertinggi sejak 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata keseluruhan agihan keuntungan berjumlah RM3.22 bilion, yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit TH.

Kadar tersebut dicapai setelah mengambil kira pelunasan zakat pada kadar 2.577 peratus (RM95.3 juta).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.