SHAH ALAM, 18 MAC: Kos menunaikan haji bagi musim 1447 Hijrah kekal RM33,300 meskipun berdepan peningkatan harga minyak dunia ketika ini.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata pihaknya sudah mengambil kira faktor kenaikan kos bahan api itu dalam perjanjian sedia ada dengan syarikat penerbangan.
Beliau berkata, perjanjian berkenaan yang dimeterai bersama syarikat penerbangan termasuk Saudi Airlines dan Malaysia Airlines adalah untuk tempoh tiga tahun, sekali gus membolehkan kos penerbangan dikawal dalam julat tertentu.
“Dalam perjanjian itu, kita sudah ‘lock’ harga termasuk mengambil kira kemungkinan kenaikan harga minyak, walaupun terdapat klausa pelarasan jika harga minyak melepasi paras tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Agihan Keuntungan TH 2025 di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Tambahnya, walaupun harga minyak dunia kini melepasi paras AS$90 setong, TH masih mampu menyerap kenaikan kos tanpa memindahkan beban kepada jemaah.
“Bagi tahun 1447 Hijrah, jemaah tidak perlu risau kerana kos yang diumumkan kekal dan tidak akan berubah,” katanya lagi, lapor Harian Metro.
Abdul Rashid menjelaskan, peningkatan kos operasi sememangnya tidak dapat dielakkan, namun langkah pengurusan berhemah memastikan kebajikan jemaah terus terpelihara.
“Memang ada peningkatan kos yang tidak dapat dielakkan, tetapi kita mampu menyerapnya tanpa menjejaskan bakal jemaah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kos haji akan disemak semula sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan sehingga memberi tekanan berterusan kepada harga minyak global.
“Ia bergantung kepada tempoh situasi itu berpanjangan. Jika berterusan dalam jangka masa panjang, kita mungkin perlu buat semakan semula kos pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, TH memberi jaminan keselamatan serta kebajikan jemaah sentiasa menjadi keutamaan, selain memastikan kepentingan pendeposit tidak terjejas.
Terdahulu, TH memaklumkan aset di bawah pengurusan setakat Disember 2025 berjumlah RM98.58 bilion, melebihi liabiliti sebanyak RM95.63 bilion.











