Amal konsep ‘lihat, hidu dan rasa’, elak keracunan makanan musim raya

21 Mac 2026, 6:00 AM
Amal konsep ‘lihat, hidu dan rasa’, elak keracunan makanan musim raya
Amal konsep ‘lihat, hidu dan rasa’, elak keracunan makanan musim raya

SHAH ALAM, 21 MAC: Lihat, hidu dan rasa. Tiga konsep ini disarankan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, sebelum orang ramai menikmati sebarang juadah ketika musim perayaan.

Selain mengelakkan risiko keracunan makanan, jabatan itu turut menyarankan sesuatu makanan sebaiknya dimakan dalam tempoh tidak melebihi empat jam selepas penyediaan.

“Selain itu, amalan mencuci tangan dengan betul sebelum menyediakan dan menikmati makanan adalah penting bagi mengelakkan keracunan makanan,” katanya kepada Media Selangor.

Selain itu, orang ramai juga digalakkan mengamalkan konsep ‘nikmati tetapi berpada-pada’ kerana pengambilan makanan tidak terkawal boleh meningkatkan berat badan dan risiko penyakit kronik.

Menurutnya, makanan berkalori tinggi yang perlu dikawal termasuk lemang, rendang dan pelbagai jenis kuih-muih yang tinggi gula, garam dan lemak selain mengelakkan minuman manis.

“Pilih makanan dalam saiz hidangan yang kecil serta utamakan makanan yang lebih sihat seperti buah-buahan, makanan kurang minyak dan kurang santan," saran jabatan itu.

Pada masa sama, masyarakat turut digalakkan mengekalkan aktiviti fizikal ringan seperti berjalan kaki ketika berkunjung ke rumah saudara-mara terdekat.

Selain itu, penjagaan kesihatan mental juga penting dengan mendapatkan rehat secukupnya, terutama bagi mereka yang melakukan perjalanan jauh untuk pulang ke kampung halaman.

Daripada aspek kebersihan, Jabatan Kesihatan meminta orang ramai memastikan persekitaran rumah bersih dan bebas daripada air bertakung bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes.

“Selain itu, bersihkan longkang dan pastikan bekas simpanan air ditutup rapat dan gunakan ubat nyamuk terutamanya pada waktu pagi dan lewat petang.

"Luangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan membersihkan kawasan sekitar rumah. Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti demam tinggi, sakit kepala atau sakit sendi,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.