Sempena Aidilfitri, 250 individu di DUN Sekinchan terima bakul makanan

18 Mac 2026, 5:11 AM
Sempena Aidilfitri, 250 individu di DUN Sekinchan terima bakul makanan
Sempena Aidilfitri, 250 individu di DUN Sekinchan terima bakul makanan

SHAH ALAM, 18 MAC: Seramai 250 individu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan menerima sumbangan bakul makanan sempena Aidilfitri.

Wakil rakyatnya Dato' Ng Suee Lim berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban perbelanjaan harian penerima serta membawa kegembiraan kepada mereka sekeluarga.

"Pemilihan penerima dibuat melalui kerjasama ketua kampung dan tok sidang memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak serta memerlukan.

"Inisiatif ini diharap dapat meringankan beban penerima serta memastikan kebajikan masyarakat terus terbela tanpa ada yang tercicir, selari dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai keprihatinan dan kebersamaan," ujar beliau.

Menurutnya, sumbangan tersebut antara usaha berterusan bagi memastikan golongan memerlukan tidak terpinggir dalam menikmati kemeriahan Syawal.

"Sumbangan Aidilfitri ini bukan sekadar bantuan fizikal, tetapi simbol keprihatinan dalam memastikan setiap lapisan masyarakat dapat membuat persiapan Hari Raya dengan lebih tenang dan bermakna.

"Melalui inisiatif seperti ini, kita bukan sahaja menyampaikan bantuan, malah mengeratkan hubungan serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti," katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata seramai 600 penerima turut menerima baucar Jom Shopping Perayaan (JSP) sempena Aidilfitri di kawasan DUN Sekinchan.

"Program Jom Shopping Perayaan ini bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat dalam membuat persiapan Aidilfitri, malah mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan kebajikan masyarakat terus terpelihara.

"Jumlah keseluruhan sumbangan yang disalurkan dianggarkan melebihi RM120,000, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.