Duta Iran nafi pemimpin agung dirawat di Rusia

18 Mac 2026, 12:00 AM
Duta Iran nafi pemimpin agung dirawat di Rusia

ISTANBUL, 18 MAC: Duta Iran ke Moscow, Kazem Jalali menafikan laporan media pada Selasa bahawa Pemimpin Agung, Mojtaba Khamenei telah dibawa ke Moscow untuk rawatan perubatan selepas cedera dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel, akhir bulan lepas, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan di laman X, Jalali menyifatkan laporan mengenai pemindahan Khamenei ke Rusia itu sebagai “satu perang psikologi baharu.”

“Pemimpin Iran tidak perlu melarikan diri dan bersembunyi di dalam tempat perlindungan; tempat mereka adalah di jalanan bersama rakyat. Darah syahid (bekas Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei) membatalkan sihir peperangan psikologi dan limpahan pembohongan,” katanya.

Memetik pegawai tinggi yang rapat dengan Pemimpin Agung Iran, akhbar Al Jarida pada Ahad melaporkan bahawa Mojtaba Khamenei telah tercedera dalam serangan AS-Israel pada 28 Feb dan dibawa ke Moscow untuk rawatan.

Pada Isnin, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov enggan mengulas mengenai perkara itu dengan menyatakan: “Kami tidak mengulas mengenai laporan sedemikian dalam apa jua cara sekalipun.”

-- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.