SHAH ALAM, 17 MAC: Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembelian panik menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri susulan jaminan bekalan makanan asas yang mencukupi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bekalan ayam dan daging berada dalam keadaan stabil dan mampu menampung keperluan sehingga beberapa bulan akan datang, lapor Kosmo!.
“Bekalan mencukupi, jadi tidak perlu panik. Jika biasa beli empat ekor ayam, kekalkan seperti itu dan elakkan pembelian berlebihan.
“Insya-Allah bekalan kekal stabil sekurang-kurangnya hingga Mei atau Jun, termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Dividen Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Majlis Iftar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) 2026, hari ini.
Beliau turut memaklumkan harga barangan ketika ini masih terkawal dan belum terjejas meskipun berlaku konflik di Asia Barat melibatkan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Namun, katanya, kesan kenaikan harga dijangka hanya akan dirasai dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang, bergantung kepada perubahan kos bahan api.
“Apabila harga petrol meningkat, kita mungkin akan lihat kesan kepada harga barangan lain, tetapi bukan dalam masa terdekat.
“Barangan yang ada sekarang adalah stok sedia ada, jadi impak konflik ini dijangka dirasai beberapa bulan lagi,” katanya.
Tambahnya, kerajaan akan terus memantau perkembangan harga dari semasa ke semasa dengan kerjasama kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Kewangan (MOF).








