SPAN pantau krisis Selat Hormuz, kos operasi industri air terkawal

17 Mac 2026, 8:21 AM
SPAN pantau krisis Selat Hormuz, kos operasi industri air terkawal

SHAH ALAM, 17 MAC: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) terus memantau impak ketegangan di laluan perdagangan Selat Hormuz bagi memastikan operasi industri perkhidmatan air negara kekal stabil.

SPAN memaklumkan setakat ini kesan langsung terhadap industri masih terkawal apabila kos bahan api kekal stabil, manakala harga alat ganti serta bahan pemprosesan belum menunjukkan peningkatan mendadak.

"SPAN akan terus memantau melalui penilaian impak dari semasa ke semasa dan tidak menolak sebarang kemungkinan kesan langsung yang bakal menyulitkan industri sekiranya konflik berterusan.

"Sebarang kenaikan kos secara mendadak akan memberi kesan terhadap pengoperasian operator perkhidmatan air," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut SPAN, pemantauan berterusan turut melibatkan penilaian terhadap kos operasi, rantaian bekalan global serta keupayaan operator dalam memastikan bekalan air kepada pengguna kekal terjamin.

"Industri perkhidmatan air bergantung kepada dua komponen utama berkaitan pasaran antarabangsa iaitu bahan api bagi tujuan rawatan, agihan dan logistik, selain peralatan alat ganti serta bahan kimia untuk kegunaan di loji dan sistem perpaipan.

"Sekiranya perlu, langkah sewajarnya akan diambil dan diusulkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi meminimumkan impak kepada pengguna serta memastikan industri terus berupaya memberikan perkhidmatan secara berterusan," katanya.

Pada masa sama, SPAN menggesa operator perkhidmatan air memperkukuh langkah mitigasi termasuk memastikan stok bahan kimia serta alat ganti mekanikal dan elektrikal mencukupi sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga hingga enam bulan.

"SPAN turut menyeru pengguna menggunakan air dan tenaga secara berhemat terutama di musim perayaan dan khususnya ketika menghadapi krisis global. Penggunaan yang sewajarnya dapat memastikan bekalan mencukupi untuk semua dan kos pengoperasian di pihak pembekal dapat dikawal daripada sebarang kesan buruk impak krisis semasa.

"Laporkan sebarang situasi luar jangka kepada operator perkhidmatan air anda atau kepada SPAN melalui aplikasi SiSMAS di pautan sismas.span.gov.my," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.