SHAH ALAM, 17 MAC: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan dron berteknologi tinggi untuk memantau kesalahan trafik dari udara sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata dron berkenaan akan digerakkan di 288 lokasi panas yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kemalangan serta aliran trafik padat.
“Lokasi itu meliputi laluan utama ke Pantai Timur seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu, selain laluan selatan ke Johor serta lebuh raya utama di sebelah utara negara.
“Pendekatan ini memanfaatkan teknologi moden bagi memperkukuh penguatkuasaan dan pemantauan kesalahan trafik susulan peningkatan jumlah kenderaan sempena musim perayaan,” katanya seperti dilapor The Star.
Aedy Fadly menjelaskan dron terbabit dilengkapi kamera berkeupayaan zoom sehingga 200 kali bagi membolehkan nombor pendaftaran kenderaan dikenal pasti dengan jelas dari jarak jauh.
Katanya, semua imej dan rakaman video akan dijadikan bukti sokongan dalam siasatan.
“Pemandu yang dikesan melakukan kesalahan akan diberikan Notis Temu Siasat (Notis 114) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan perlu hadir ke pejabat JPJ untuk tindakan lanjut.
“Rakaman dron ketika ini hanya digunakan sebagai bukti sokongan dan bukan untuk mengeluarkan saman secara terus, berbeza dengan kesalahan yang dirakam menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas),” katanya.
Tambah beliau, pemantauan dari udara membolehkan penguat kuasa menilai pergerakan trafik secara lebih menyeluruh selain mengesan kesalahan yang sukar dikenal pasti melalui rondaan di darat.
Katanya, hampir 3,000 anggota JPJ akan digerakkan sepanjang operasi dari 13 hingga 19 Mac, dengan semua kenderaan jabatan turut diarahkan melakukan rondaan di jalan utama dan lebuh raya.
Dalam perkembangan sama, JPJ turut memberi tumpuan kepada kes penyalahgunaan lorong kecemasan yang disifatkan sebagai kesalahan serius.
Sebanyak 12,164 kes direkodkan antara 2023 hingga Februari tahun ini, termasuk 689 kes bagi tempoh Januari hingga Februari sahaja.
“Lorong kecemasan hanya untuk kegunaan kecemasan dan tidak boleh disalahgunakan,” tegasnya.








