Semua rakyat Malaysia terkandas di Asia Barat sudah dibawa pulang

16 Mac 2026, 12:34 PM
Semua rakyat Malaysia terkandas di Asia Barat sudah dibawa pulang
Semua rakyat Malaysia terkandas di Asia Barat sudah dibawa pulang

PUTRAJAYA, 16 MAC: Semua rakyat Malaysia yang terkandas akibat konflik Asia Barat termasuk mereka yang menunaikan umrah secara kendiri telah dibawa pulang dan diuruskan sepenuhnya, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata bagi rakyat Malaysia yang menetap di negara terjejas konflik berkenaan, tiada perancangan untuk membawa pulang setakat ini, namun mereka boleh kembali sendiri ke tanah air kerana ruang udara di kawasan bergolak kini sudah dibuka.

"Tugas ini telah pun diambil alih oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). MKN akan memberi nasihat kepada Kementerian Luar untuk kita menyelaras," katanya.

Mohamad berkata kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertajuk “Strategi untuk Malaysia dan ASEAN Dalam Era Ketidaktentuan Dunia" bersama Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Profesor Dr Jeffrey D Sachs yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas sesi Anwar bersama Sachs, Mohamad menyifatkan perkongsian wakil PBB itu sebagai selaras dengan dasar luar Malaysia yang menekankan keamanan dunia dan kerjasama antarabangsa.

"Seperti biasa kita tahu Sachs seorang profesor yang menyeru kepada keamanan dunia. Apa yang telah beliau kongsi merupakan selaras dengan dasar luar negara yang mahu dunia menjadi sebagai pentas untuk semua bekerjasama membangunkan negara masing-masing," katanya.

Mohamad menegaskan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran sebagai peperangan tidak diisytiharkan dan tidak adil, yang memberi kesan bukan sahaja kepada Asia Barat tetapi juga ekonomi dunia secara keseluruhan.

Beliau menyeru semua pihak supaya memastikan konflik itu tidak berlanjutan kerana ia tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa.

Mengenai pendirian Malaysia di peringkat antarabangsa, beliau berkata suara negara telah dinyatakan di Parlimen oleh Anwar, dengan mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap sebuah negara merdeka.

"(Iran) sebuah negara yang merdeka yang diserang kedaulatannya tanpa apa-apa sebab," katanya.

Ditanya sama ada terdapat kapal dagang dari Malaysia yang disekat di Selat Hormuz, Mohamad berkata tiada perkembangan baharu kerana kawasan itu masih ditutup.

Media sebelum ini melaporkan Iran telah menutup Selat Hormuz sejak 1 Mac susulan serangan AS-Israel yang mengorbankan lebih 1,200 orang, termasuk Pemimpin Agung Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei dan gangguan itu telah menjejaskan eksport minyak global dan meningkatkan ketidakstabilan pasaran tenaga.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.