SHAH ALAM, 16 MAC: Sebanyak 192 pek sumbangan diagihkan kepada keluarga asnaf menerusi Program Infak Kasih Ramadan 2.0 anjuran Sekolah Al-Amin Darul Musthofa di Masjid Al-Khairiah, Taman Sri Gombak, hari ini.
Pengetuanya, Shalhah Abdul Rahman berkata program itu bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah menjadi platform membentuk nilai empati dan akhlak mulia dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, seramai 368 pelajar berusia antara empat hingga 12 tahun terlibat dalam pelaksanaan program tersebut termasuk dalam proses penyediaan dan pembungkusan pek sumbangan.
“Program ini dilaksanakan melalui beberapa proses bermula dengan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kisah yang dapat memupuk sifat empati terhadap golongan memerlukan, diikuti aktiviti pembungkusan pek makanan.
“Pelajar turut menulis ucapan atau doa yang mereka harapkan daripada keluarga asnaf selain mengekspresikan kefahaman mereka daripada proses awal program hingga akhir,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Program itu turut mendapat kerjasama Masjid Al-Khairiah dalam mengenal pasti penerima asnaf serta menyalurkan sumbangan tunai, manakala pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan EZ Prihatin membantu dari segi logistik bagi proses pengangkutan dan pengagihan bantuan.
“Program ini meliputi penerima asnaf yang tinggal di kawasan sekitar Sri Gombak, Taman Bolton dan Masjid Nakoda,” tambahnya.
Sementara itu, seorang pelajar Muhammad Ammar Muhammad Zuhairi, 12, meluahkan rasa gembira dapat terlibat dalam program berkenaan.
“Saya gembira sebab apabila kita buat bersama-sama ia dapat mengeratkan hubungan dengan rakan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, penerima sumbangan Siti Khadijah Basiron, 63, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima terutama menjelang sambutan Aidilfitri.
“Program ini bagus diteruskan lagi kerana sedikit sebanyak dapat membantu kami dari golongan asnaf untuk membuat persediaan Aidilfitri,” katanya.
Seorang lagi penerima, Yon Heri, 64, turut bersyukur kerana bantuan pek sumbangan itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebannya.
“Saya gembira melihat penglibatan anak-anak dalam program infak hari ini dan saya doakan pelajaran mereka sentiasa cemerlang,” katanya.










