Dr Adeeba dilantik panel pakar PBB nilai dasar dadah global

16 Mac 2026, 9:04 AM
Dr Adeeba dilantik panel pakar PBB nilai dasar dadah global

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dilantik menganggotai panel pakar bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditugaskan menilai semula dasar dadah global.

Panel pakar bebas yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) itu akan menilai kemajuan dasar dadah di seluruh dunia serta mengemukakan cadangan menjelang semakan antarabangsa yang dijadualkan pada 2029.

Dr Adeeba yang dipilih oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata semakan berkenaan merupakan peluang penting untuk menilai sama ada dasar dadah antarabangsa benar-benar melindungi kesihatan awam dan kesejahteraan manusia.

"Ini adalah peluang yang jarang berlaku untuk meneliti sama ada sistem kawalan dadah antarabangsa sesuai dengan tujuan penubuhannya dan di mana penambahbaikan perlu dilakukan.

"Panel ini menghimpunkan kepakaran dari pelbagai rantau dan disiplin bagi meneliti bagaimana dasar dadah global boleh lebih mencerminkan keutamaan kesihatan awam, pertimbangan hak asasi manusia serta bukti saintifik," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Universiti Monash hari ini.

Dr Adeeba diiktiraf di peringkat antarabangsa atas sumbangannya dalam bidang penyakit berjangkit, pengurangan kemudaratan serta kesihatan awam, khususnya dalam menangani HIV dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi dan individu yang menggunakan dadah.

Bekas Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) itu juga pernah menjadi penyelidik utama bagi pelbagai projek klinikal berkaitan ketagihan, HIV, tuberkulosis dan hepatitis C, termasuk penyelidikan dalam sistem penjara Malaysia.

Selain itu, beliau turut mempengerusikan Malaysian AIDS Foundation, yang aktif melaksanakan program advokasi pembaharuan undang-undang dadah berasaskan pendekatan kesihatan awam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.