PUTRAJAYA, 16 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah menegaskan kepentingan untuk berusaha mengelakkan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat daripada mencetuskan konflik lebih besar dalam kalangan negara Islam.
Beliau berkata perkara itu disampaikan semasa pusingan kedua perbincangan dengan pemimpin Iran, Oman, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Turkiye baru-baru ini.
"Dalam pusingan kedua perbincangan dengan para pemimpin berkenaan, kita (Malaysia) turut menyuarakan kebimbangan kerana walaupun pelaku ialah Israel dan pihak yang menyokongnya, kesannya dirasai di seluruh dunia Islam terutama di Timur Tengah, Turkiye serta Azerbaijan.
"... kini, disebabkan peperangan yang berpanjangan dan serangan berterusan, kita menyaksikan kesannya telah merebak ke seluruh dunia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Mushaf Malaysia MADANI di sini hari ini.
Anwar berkata Menteri Luar Iran turut memberikan jaminan kepada beliau bahawa ketegangan yang tercetus susulan konflik negara itu dengan Israel dan Amerika Syarikat tidak akan memuncak sehingga mengakibatkan pertempuran dalam kalangan negara Islam.
Perdana Menteri turut mengulangi kebimbangan Malaysia berhubung nasib rakyat Palestin di Gaza dan memberi amaran agar krisis itu tidak dieksploitasi untuk tujuan politik.
Anwar juga menegaskan bahawa perpaduan dan kerjasama amat diperlukan bagi mengekalkan keamanan serta kemakmuran.
Di peringkat domestik, beliau berkata situasi di Asia Barat telah memberikan kesan ekonomi yang ketara dan nyata kepada Malaysia termasuk peningkatan komitmen lebih tinggi untuk mengekalkan harga minyak.
Perdana Menteri juga berkata pengekalan harga petrol RON95 pada kadar semasa adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat sambil menegaskan bahawa harga minyak di Malaysia masih antara yang terendah di dunia berbanding beberapa negara jiran.
Bagaimanapun, beliau berkata situasi semasa memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal negara.
“Ia menyebabkan kita menanggung tambahan subsidi sebanyak RM2 bilion sebulan bagi mengekalkan harga itu,” katanya sambil menambah jika harga minyak di pasaran dunia terus meningkat, kos itu juga akan bertambah.
Anwar berkata meskipun terdapat kritikan daripada sesetengah pihak, kerajaan akan terus meneliti implikasi situasi itu dengan berhati-hati sambil mengutamakan kebajikan rakyat khususnya golongan miskin.








