Air manis punca gout? Lelaki seawal usia 20-an turut terjejas

16 Mac 2026, 1:01 AM
Air manis punca gout? Lelaki seawal usia 20-an turut terjejas
Air manis punca gout? Lelaki seawal usia 20-an turut terjejas
Air manis punca gout? Lelaki seawal usia 20-an turut terjejas

SHAH ALAM, 16 MAC: Penyakit gout sering dikaitkan dengan warga emas dan gaya hidup lama, namun realitinya hari ini semakin membimbangkan apabila golongan muda turut terdedah kepada penyakit tersebut.

Menurut Pakar Perunding Rheumatologi dan Perubatan Dalaman, Dr Pradeep V Ravindra Dass, kes gout dalam kalangan lelaki berusia 20-an dan 30-an kini bukan lagi sesuatu yang luar biasa.

“Dulu kita selalu nampak gout dalam kalangan orang berumur 40 tahun ke atas, tetapi sekarang dengan gaya hidup moden, kita boleh nampak pesakit seawal umur 20-an,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Beliau menjelaskan, perubahan gaya hidup menjadi antara faktor utama, termasuk kurang aktiviti fizikal, kebergantungan kepada kenderaan dan peningkatan kadar obesiti.

“Dulu orang banyak berjalan, kayuh basikal. Sekarang nak pergi tempat dekat pun naik kereta. Bila obesiti meningkat, risiko gout pun turut meningkat,” ujarnya.

Rakaman Bicara Semasa bersama Pakar Perunding Rheumatologi dan Perubatan Dalaman KPJ Klang Dr Pradeep V Ravindra Dass di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 27 Januari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Lelaki lebih berisiko

Dari sudut jantina, Dr Pradeep memaklumkan penyakit gout didapati lebih kerap menyerang lelaki berbanding wanita, khususnya pada usia muda disebabkan faktor hormon yang memainkan peranan penting dalam perbezaan tersebut.

“Hormon estrogen pada wanita yang masih mempunyai kitaran haid sebenarnya membantu badan mengeluarkan asid urik melalui air kencing. Sebab itu wanita muda lebih terlindung.

“Tetapi apabila wanita putus haid, risiko mereka untuk mendapat gout menjadi hampir sama dengan lelaki,” jelasnya.

bukan sakit sendi biasa

Dr Pradeep menegaskan bahawa gout tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sekadar sakit sendi sementara, sebaliknya sejenis penyakit radang sendi yang serius dan dikaitkan dengan pelbagai komplikasi kesihatan lain.

“Gout ni bukan sakit yang biasa. Ia adalah penyakit radang sendi yang paling common dan kalau tak dirawat dengan betul, ia boleh membawa kepada kecacatan sendi kekal.

“Pesakit gout mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat serangan jantung, angin ahmar dan juga kerosakan buah pinggang,” katanya.

Walaupun penyakit ini bersifat kronik, Dr Pradeep menjelaskan bahawa gout masih boleh dikawal dengan rawatan yang betul.

“Gout tak boleh sembuh sepenuhnya, tapi ia boleh dikawal sepenuhnya. Itu yang paling penting,” katanya.

hakis tulang hingga cacat

Antara punca utama kesakitan melampau dalam serangan gout ialah pembentukan kristal asid urik di dalam sendi.

Dr Pradeep menjelaskan, mendakan kristal ini mencetuskan keradangan yang berpanjangan serta berpotensi membawa kepada kerosakan yang serius.

“Kristal asid urik ini akan menghasilkan radang yang kuat. Kalau berterusan dan tak dirawat, lama-lama ia boleh menghakis tulang.

“Bila tulang dah terhakis, ia boleh patah dan menyebabkan kecacatan kekal. Pada tahap itu, pergerakan pesakit akan menjadi sangat terhad,” jelas beliau.

Air manis juga punca gout

Dalam konteks masyarakat Malaysia, Dr Pradeep berkata terdapat salah faham besar bahawa gout hanya berpunca daripada pengambilan makanan laut atau daging merah.

Menurut beliau, gula yang diproses dalam badan akan menghasilkan asid urik sebagai bahan buangan.

“Majoriti rakyat Malaysia tak minum arak, tapi kes gout tetap tinggi. Salah satu sebabnya ialah pengambilan gula yang berlebihan.

“Ramai elakkan 'seafood', tapi masih ambil teh ais meleleh dan makanan manis, ditambah pula dengan kurang minum air kosong. Dua perkara ini sering dipandang remeh,” tegasnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.