SHAH ALAM, 15 MAC: Umat Islam diingatkan tidak mempersoalkan hari kiamat kerana boleh menyebabkan iman tergelincir serta termasuk dalam golongan kafir.
Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed berkata golongan terbabit tidak mempercayai hari dihimpunkan malah turut memperlekehkannya.
“Mereka perolok (hari kiamat) terhadap Baginda Nabi SAW. Mereka merendah-rendahkan, menghina, mempermainkan dan nafikan. Mereka cabar. Jadi mereka persoal, bila (hari kiamat) kalau betul kita dihimpun untuk terima azab? Mereka tidak percaya.
“Kita juga boleh tergolong dengan mereka ini sekiranya tidak bersyukur. Walaupun kita tak persoalkan sebab ada iman, namun boleh tergolong sama kalau tak bersyukur kerana itu perjalanan membimbing kerohanian.

“Kalau tak bersyukur, kita terputus dari Allah SWT. Mata, telinga, hati terputus dari Allah SWT maka kita hidup seperti binatang. Tak ada rasa tanggungjawab nak mengimarahkan muka bumi dengan perkara diredai,” katanya menghuraikan ayat 25, Surah al Mulk.
Terdahulu, ayat tersebut dibacakan Dato’ Menteri Besar dengan bimbingan Ahmad Fakhrurrazi menerusi program 30 Hari 30 Ayat al-Quran bersama Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan.
Beliau juga mengingatkan umat Islam supaya sentiasa membaca ayat berkenaan pada setiap malam.
Sebagai menutup kupasan ayat berkenaan, Amirudin berkata perlunya kita berjaga-jaga dengan sebarang tindakan kerana kadang-kadang kelakuan itu berisiko menjadikan kita golongan kafir dan memperolok Allah SWT.
“Jadi diharap saat kita nak jadi orang bertakwa, yang mendapat keampunan, pembebasan dari api neraka, tindakan kita tak ke arah itu kerana boleh gambarkan kita tak bersyukur. Semoga kita terhindar dari golongan memperolok dan memperlekeh hari kiamat,” katanya.









