SHAH ALAM, 15 MAC: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Stadium berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.15 tengah hari.
Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohd Radzi Abdul Talib segera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Komander Operasi melaporkan kejadian membabitkan dua penunggang motosikal yang melalui kawasan berkenaan ketika sebatang pokok tumbang.
“Akibat kejadian itu, seorang mangsa berusia 51 tahun yang menunggang salah satu motosikal dihempap pokok dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.
Menurutnya, seorang lagi mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an yang menunggang sebuah lagi motosikal terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, mayat mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Ismail berkata kerja pembersihan pokok tumbang di jalan raya turut dilakukan di lokasi kejadian dan operasi ditamatkan pada jam 1.53 tengah hari.








