Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra siap dinaik taraf, beroperasi sepenuhnya esok

15 Mac 2026, 3:51 AM
Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra siap dinaik taraf, beroperasi sepenuhnya esok

PUTRAJAYA, 15 MAC: Kerja-kerja pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu (KBR) di Kelantan kini telah siap dan ia akan beroperasi sepenuhnya mulai esok, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke dalam kenyataan berkata pembesaran terminal baharu ini telah meningkatkan kapasiti lapangan terbang KBR daripada 1.5 juta kepada 4 juta penumpang setahun.

“Dengan jumlah pergerakan penumpang mencecah 1.7 juta pada 2025, meningkat 16.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, peningkatan kapasiti ini berupaya menampung pertumbuhan trafik penumpang yang semakin meningkat,” katanya.

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu (KBR) di Kelantan berwajah baharu selepas dinaik taraf merangkumi bangunan terminal yang lebih luas, pengasingan aras pelepasan dan ketibaan bagi melancarkan aliran penumpang. Foto Facebook Kota Bharu Sultan Ismail Petra International Airport - KBIA

Beliau berkata kemudahan yang ditambah baik di KBR merangkumi bangunan terminal yang lebih luas, pengasingan aras pelepasan dan ketibaan bagi melancarkan aliran penumpang serta susun atur baharu kawasan tepi jalan dengan lorong khusus untuk bas, teksi dan perkhidmatan e-hailing.

“Penambahbaikan ini dijangka meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang dan menyokong kelancaran operasi lapangan terbang, khususnya menjelang musim perayaan yang bakal tiba.

“Pada masa sama, peningkatan ini turut memperkukuh hubungan udara ke Kelantan, di samping menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, perniagaan dan pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu (KBR) di Kelantan berwajah baharu selepas dinaik taraf merangkumi bangunan terminal yang lebih luas, pengasingan aras pelepasan dan ketibaan bagi melancarkan aliran penumpang. Foto Facebook Kota Bharu Sultan Ismail Petra International Airport - KBIA

Loke berkata terdapat lima syarikat penerbangan yang kini beroperasi di KBR, merangkumi enam laluan domestik dan satu laluan antarabangsa ke Singapura.

Beliau berkata majlis pelancaran rasmi bagi terminal yang diperluaskan itu akan diumumkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.