SHAH ALAM, 13 MAC: Wisma Putra mengesahkan kira-kira 70 jemaah Malaysia yang menginap di Hotel Mira Ajyad, Makkah yang terbakar pada petang Khamis (12 Mac) selamat dan sudah dikenal pasti.
Kementerian Luar memaklumkan semua jemaah terbabit berada di bawah kelolaan agensi pelancongan umrah TH Travel, Zahafiz Travel dan Rayhar Travel.
"Ketiga-tiga agensi tersebut telah mengesahkan bahawa semua jemaah Malaysia di bawah pengurusan mereka berada dalam keadaan selamat dan telah dikenal pasti.
"Pemeriksaan susulan yang dijalankan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sekitar jam 7.20 malam waktu tempatan turut mendapati beberapa jemaah Malaysia berada dalam keadaan selamat di sekitar kawasan hotel," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kementerian itu lagi, sebaik menerima maklumat mengenai insiden tersebut, pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah segera berkoordinasi dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan umrah Malaysia bagi memastikan keselamatan jemaah yang menginap di hotel berkenaan.
Pada masa sama, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa Arab Saudi dan setakat ini tiada petunjuk bahawa insiden tersebut berpunca daripada serangan dron atau unsur sabotaj.
"Atas faktor keselamatan, tetamu tidak dibenarkan kembali ke bilik masing-masing sementara siasatan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya.
Wisma Putra berkata, sekiranya terdapat kelewatan mendapatkan kebenaran untuk kembali ke hotel, pihak pengurusan hotel bersama agensi pelancongan masing-masing akan mengatur penginapan sementara bagi tetamu yang terjejas.
Katanya, kementerian itu melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus memantau perkembangan situasi tersebut dan kekal berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan Malaysia bagi memastikan keselamatan serta kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.
"Jemaah Malaysia yang kini berada di Makkah dinasihatkan supaya kekal tenang dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta agensi pelancongan masing-masing," katanya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah melalui talian +966 126 727 740 atau +966 573 099 589, atau e-mel mwjeddah@kln.gov.my.
Terdahulu, media melaporkan sebuah hotel yang menjadi pilihan jemaah Asia Tenggara termasuk Malaysia di Makkah ketika menunaikan umrah, Hotel Mira Ayjad terbakar petang semalam.
Video kebakaran itu turut tular di media sosial.








