Kutipan premium tanah Sabak Bernam cecah RM8.1 juta, lepasi sasaran

13 Mac 2026, 4:02 AM
Kutipan premium tanah Sabak Bernam cecah RM8.1 juta, lepasi sasaran

SABAK BERNAM, 13 MAC: Kutipan premium tanah di Daerah Sabak Bernam meningkat kepada RM8.1 juta tahun lalu, melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan yang ditetapkan.

Pegawai Daerah Sabak Bernam Ali Sadikin Sadin berkata Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam mencatat pencapaian 116.6 peratus bagi kutipan premium tanah.

“Bagi kutipan premium tanah, PDT Sabak Bernam berjaya mengutip RM8.1 juta atau 116.6 peratus daripada sasaran KPI yang ditetapkan.

“Kutipan cukai tanah semasa bagi tahun 2025 pula merekodkan RM3.84 juta atau 90.2 peratus daripada sasaran, manakala kutipan cukai petak turut melepasi sasaran dengan RM5,055 atau 103 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat serta Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H di Masjid Marzukiah, Kampung Lubuk Pusing, di sini semalam.

Menurutnya, daerah Sabak Bernam mempunyai keluasan 1,004.33 kilometer persegi atau kira-kira 99,710 hektar yang merangkumi lima mukim, selain menempatkan 79 kampung tradisi Melayu dan 12 kampung bagan, termasuk empat komuniti India yang masih mengekalkan adat dan budaya masing-masing.

Berdasarkan bancian Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2025, daerah itu mempunyai kira-kira 110,500 penduduk dengan kadar pertumbuhan sekitar 0.2 peratus setahun.

Daripada jumlah itu, 81,300 penduduk berbangsa Melayu, diikuti 19,900 Cina, 4,000 India manakala kaum lain sekitar 0.6 peratus.

Ali Sadikin berkata struktur sosioekonomi Sabak Bernam masih berteraskan ekonomi luar bandar dengan sektor pertanian sebagai tunjang utama.

Kawasan sawah padi di daerah itu meliputi kira-kira 11,098 hektar, menjadikannya antara jelapang padi penting di Selangor.

Selain padi, aktiviti pertanian lain termasuk penanaman kelapa sawit, kelapa, pisang serta penternakan dan tanaman makanan yang turut menyumbang kepada ekonomi penduduk.

Tambahnya, kedudukan daerah berhampiran Selat Melaka menjadikan sektor perikanan sebagai antara sumber ekonomi utama melalui aktiviti penangkapan ikan, akuakultur dan perusahaan makanan laut.

Sektor industri kecil dan sederhana (IKS) serta keusahawanan desa juga terus berkembang menerusi pengeluaran produk makanan tradisional, kraftangan dan perusahaan desa oleh komuniti tempatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.