Iran dakwa serang kapal tangki minyak AS di Selat Hormuz

13 Mac 2026, 1:49 AM
Iran dakwa serang kapal tangki minyak AS di Selat Hormuz

ANKARA/ISTANBUL, 13 MAC: Pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada Khamis menyatakan bahawa ia telah menyerang sebuah kapal tangki minyak Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz selepas kapal itu didakwa mengabaikan amaran berulang kali, lapor Anadolu Ajansi (AA).

IRGC dalam satu kenyataan berkata kapal tangki minyak Safesea Vishnu, yang dimiliki oleh sebuah syarikat AS dan mengibarkan bendera Kepulauan Marshall, telah diserang di utara selat itu pada awal pagi selepas gagal mematuhi amaran yang diberikan.

Pasukan Pengawal itu menyatakan bahawa lalu lintas maritim di Teluk Parsi dan Selat Hormuz kini menghadapi risiko yang semakin meningkat, sambil meletakkan tanggungjawab terhadap situasi berkenaan kepada AS.

Ia turut menggesa kapal-kapal komersial untuk mematuhi peraturan maritim Iran bagi mengelakkan daripada menjadi sasaran peluru berpandu.

Pada 2 Mac, Tehran mengumumkan penutupan Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap perang berterusan AS-Israel terhadap Iran. Langkah itu telah menyebabkan kos penghantaran dan insurans melambung tinggi serta melonjakkan harga minyak global, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kesan ekonomi di seluruh dunia.

Serangan itu berlaku ketika AS dan Israel meneruskan serangan udara ke atas Iran yang bermula pada 28 Feb, yang telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang dan mencederakan lebih 10,000 yang lain.

Tehran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Iraq, serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.